November 21, 2024

Cinta & Penghormatan – Rumah Tangga Yang Berjaya

Sedutan dari FB Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Dalam perjalanan menuju ke tempat Korban pada pagi yang mulia ini. Saya terbaca satu petikan daripada Dr A’aidh Al-Qarni. Berkata “Perkahwinan yang berjaya dibina atas tiga rukun: Cinta, Penghormatan dan Tolak Ansur”. Siapa yang terkurang dalam cinta dan kasih sayang maka jangan mengurangi pada penghormatan. Siapa yang terkurang dalam penghormatan maka jangan ia mengurangi dalam tolak ansur atau Tasamuh untuk meneruskan kehidupan walaupun secara hisbi. Kalau kita dapat laksanakan kaedah dan rukun ini. Nescaya kuranglah penceraian dan jaranglah perpisahan. Ini kerana kehidupan yang sempurna tidak berlaku kecuali dalam syurga.

Begitulah catatan seorang ulama yang sangat disegani di tanahair kita. Pada 2 Ogos 2020 yang lalu, kita dikejutkan dengan satu kejadian yang sangat tragis – kematian seorang wanita di tangan bekas suaminya di dalam kereta di sebuah tasik di ibu negara. Dilaporkan suspek hilang kawalan emosi marah kerana penceraian yang difailkan oleh wanita tersebut. Pelbagai spekulasi tentang musibah yang melanda keluarga ini dijaja di laman media sosial. Apa jua bentuk spekulasi, adalah tidak keterlaluan sekiranya dirumuskan yang rumahtangga yang runtuh ini kegersangan 3 rukun yang dikatakan oleh ulama di atas: cinta, penghormatan dan tolak ansur.

Penghormatan dalam rumahtangga adalah asas kepada perasaan kemanusian terhadap pasangan hidup kita. Isteri wajib menghormati suami adalah perkara yang saban hari menjadi topik popular para ustaz yang bersiaran samada di kaca TV, radio, atau di laman-laman media sosial hari ini. Tapi, hormati isteri? Agak asing, bukan? Bagaimana caranya konsep “hormati isteri” ini dapat dizahirkan dalam sesebuah rumahtangga? Cuba kita fikirkan yang tercatat dibawah ini.

1. Hormati ruang dan masanya (personal space & time). Isteri juga manusia biasa. Dia perlukan ‘space’ & ‘time’ untuk dirinya. Dalam kadar yang munasabah, penuhi keperluan kemanusiaan isteri ini. JANGAN hanya kerana “syurganya dibawah tapak kaki suami”, kita menuntut-nuntut masa dan perhatian nya 24/7 (24 jam, 7 hari seminggu) seperti anak kecil yang ‘insecure’. Masa dan perhatiannya hanya untuk kita, tiada yang lain, kecuali kita. Walaupun benar isteri perlukan izin suami untuk keluar rumah, tidak bermakna suami boleh memperlakukan isteri bagai tawanan di rumah, disekat, dikongkong dan dimanupulasi. Isteri juga perlukan masa untuk bersama rakan-rakan atau ahli keluarganya. Hormati haknya untuk sesekali bertemu rakan. Menjalinkan ukhuwah dan meluangkan masa bersama rakan adalah sesuatu yang sangat bermanfaat bagi keseimbangan kesihatan mental isteri. Izinkan lah bila ada ketika isteri perlu bersama rakan dan temannya.

2. Hormati kerjayanya. Selagi pekerjaaan yang dilakukan bukan yang haram, berilah isteri sokongan dan kata-kata semangat dalam dia berhempas mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga. Allah melebihkan lelaki dari aspek kekuatan fizikal berbanding wanita. Maka, jika suami pun penat balik dari kerja, isteri tentu jauh lebih penat. Isteri yang lelah bekerja itu jugalah wanita yang telah melahirkan zuriat kita ke dunia dan yang bercengkang mata menyusukan anak-anak kita dikala kita nyenyak tidur dialun mimpi di malam hari. Kalau kita berat hati nak beri sokongan padanya, sekurang-kurangnya, JANGAN lekehkan pekerjaannya, walaupun dia kerani pejabat dan kita berjawatan professor.

3. Hormati kewangannya. Kewangan isteri adalah zon-bebas-dari-suami. Jika kita berkira sangat nak beri dia duit belanja bulanan untuk diri dia, sekurang-kurangnya, JANGAN meminta-minta duitnya, jangan juga merengek-rengek minta dia belikan meja ping-pong untuk hobi kita atau TV 70 inchi untuk rumah kita atau bayarkan down payment kereta idaman kita. Mentang-mentanglah kita cinta hatinya, kita mengambil kesempatan untuk menguji cintanya pada kita dengan cara menuntut pengorbanan kewangannya. Kita yang wajib sara hidup dia, tak malu kah kita?

4. Hormati kejayaannya. Apa jua kelebihan yang Allah swt kurniakan padanya, hargailah kurniaan-kurniaan itu, kerana dia isteri kita. Kejayaannya adalah kejayaan kita juga. Raikanlah kejayaannya dengan jiwa yang besar dan hati yang riang. Kiranya kita tidak dapat menghayati kejayaan dan kurniaan Tuhan itu, sekurang-kurangnya, JANGAN kita merasa irihati atau berdengki kerana dia punya apa yang kita tidak ada. Atau lebih parah lagi, JANGAN suami melihat isteri sebagai ancaman pada EGO kelakiannya. Kan kita yang pilih dia untuk temani hidup kita? Mengapa ego kita yang kita utamakan melebihi keringan hati dia?

5. Hormati hobinya. Selagi minatnya itu tidak haram dan tidak berlaku pembaziran, raikanlah hobinya. Jika kita berat sangat mulut nak berikan kata-kata pujian, sekurang-kurangnya, JANGAN kita mendengus-dengus bila dia mula belayar dalam zon hobinya. Jangan juga mencebek-cebekkan muka melihat hasil tangan/karyanya. Jangan juga asyik mengkritik melihat kekurangan atau kecatatan hasil kerjanya yang amatur. Dia hanya berhobi sahaja, bukan nak bersaing di pasaran antarabangsa.

6. Hormati keluarganya. Isteri yang kita pilih untuk menyempurnakan sebahagian dari iman kita telah dibesarkan dan dibentuk oleh dinamika keluarganya. Walau mungkin isteri kita lahir dalam keluarga B40 dan kita daripada keluarga professional, JANGAN kita memandang rendah pada keluarga isteri hanya kerana kita berstatus suami. Tiada keluarga yang sempurna, pasti ada cacat celanya. Santunilah ahli keluarga isteri kita. Kita sedang bina keluarga kita bersama dia, isteri kita.

Isteri kita adalah manusia juga, bukan superwoman yang boleh kita abaikan perasaannya, hanya kerana “syurganya berada di bawah tapak kaki” kita suaminya. Jangan sampai menitis airmatanya kerana ‘angin’ kita terhadapnya. ‘Mood swing’ adalah julat yang diberikan padanya oleh Allah Pencipta. Matanglah kita suami kepadanya, kerana kita lelaki yang Allah reka lebih stabil emosinya serta lebih gagah fizikalnya. Janganlah jadikan ego lelaki kita sebagai tunjang kepada hubungan suami-isteri kita. Ego lelaki suami boleh menjadi racun yang membawa barah dalam rumahtangga. Raikanlah isteri kita dengan segala kelebihan dan kekurangan yang ada padanya, kerana kita sendiri tidak sempurna mana.

Kita telah mengangkat ‘AKAD’ di hadapan saksi-saksi untuk menghormatinya sebagai seorang MANUSIA, walau dia bergelar ISTERI kita. Saksi-saksi ini bukan sekadar bapa-bapa saudaranya, yang lebih mengerunkan, malaikat-malaikat adalah saksi utama dalam janji kita untuk mengalas amanah ini. Status suami adalah pelindung kepada isteri, bukan pemeras dan bukan juga pembuli.

Fitrahnya, ujian kan tetap menyinggah dalam setiap rumahtangga. Cinta dan penghormatan inilah yang akan membentengi rumahtangga dari konflik yang berpanjangan. Rasa hormat akan membawa kepada banyak sikap tolak-ansur. Harus difahami secara sedar, rasa hormat ini bersifat mutual; bukan di satu pihak sahaja. Suami hormati isteri, begitu juga sebaliknnya. Konflik rumahtangga yang membawa kepada maut ini, janganlah dibiarkan berulang dalam sejarah hidup manusia muslim di bumi Allah ini. Uruslah konflik rumahtangga sejajar dengan prinsip-prinsip kemanusian dan ketaqwaan yang disulami dengan perasaan cinta, penghormatan, dan tolak-ansur.

Dr. Zairus Norsiah Azhar

#suamicakna